Monday, 10 September 2012

'KICK STARTER' TIDAK LAGI RELEVAN

     Di kedai kopi itu seperti biasa saya singgah untuk makan tengahari. Kedai yang kecil  tetapi  maju. Selain orang kampung dan golongan pesara seperti saya, terdapat juga pelanggan dari kalangan penjawat awam dan swasta dari pejabat pejabat berdekatan. Menjadi kegemaran saya singgah santai disini sebagai port untuk bertemu kawan kawan dan juga mencari peluang menjana pendapatan whenever mendapat kesempatan.
     Saya duduk satu meja dengan seorang kenalan lama yang sudah lama juga saya tidak berbual bual dengannya. Kami memilih satu sudut dan memesan nasi campur dan teh O. Sambil dok makan , perbualan kami menerawang menyentuh pelbagai topik semasa. 
      Kisah hujan lebat di awal pagi tadi yang kalau berlarutan sehingga satu jam akan mengakibat banjir seperti berlaku di Kajang dan Seri Kembangan tempohari. Merujuk kepada sistem perparitan kita yang kurang efisen dan kian hari cemaran nya terus menghimpit.
       Kisah penemuan mayat di tepi jalan di Bukit Mahkota. Merujuk kepada peri berbahayanya suasana sosial kita dimana kekejaman berlaku setiap hari dan semakin hampir dengan diri atau tempat dalam lingkungan komuniti kita. 
      Tentang lampu isyarat di kawasaan kampung yang fungsinya tidak bermakna kepada pengguna kerana aliran trafik yang terlalu amat cair. Merujuk kepada pembaziran untuk projek projek yang tidak justified dijalankan dan akhirnya menimbulkan masalah masalah lain pula.
     Tiba tiba saya terasa ingin mendapat respon kawan saya itu mengenai iklim politik kita. Setelah memastikan beliau bukan lah jeneh sarang tebuan dari golongan totok mana mana kem, maka berani lah saya menjolok. Saya pun tidak mahu risiko deremen muka semata mata kerana isu isu politik yang memang sedang hangat kerana PRU13 is around the corner.
     " Apa pandangan tuan mengenai suasana politik tanahair?. Maksud saya peluang untuk kedua dua kem mencipta kejutan atau kejayaan!"
       Dia menghirup teh dengan tenang dan melemparkan sebuah senyuman dihujungnya. 
" Soalan yang sama saya telah bertanya kepada sekumpulan anak muda IPT..kebetulan." katanya.
Saya berhenti mengunyah dan menanti sambungan kata katanya.
" Mereka bertanya saya kembali" sambung kawan saya lagi. " Pak Cik , masa berlalu lebih lima dekad dan zaman telah berubah oleh teknologi. Kami tidak mahu lagi Honda Cub yang menggunakan Kick Starter.  Kami mahu menggunakan Auto Starter yang lebih mudah, ringkas dan efisen.....tidak kah begitu ?
       Mesej yang amat rengkas, jelas dan tegas.
      Saya terdiam sejenak. Dalam kepala saya membuat hitungan. Pertempuran kali ini memang sangat sengit. Pihak yang lebih sedar dan jujur serta ikhlas menyelami aspirasi rakyat sahaja yang akan mendapat sokongan kerana rakyat telah mula dapat berfikir dengan menterjemah bahawa air tidak lagi semata mata air tetapi ia juga kopi, teh, milo, kuah kari, jus buah buahan dll.
       Mereka semakin kritis dan analysis.

Saturday, 9 June 2012

BUDAYA SUBSIDI

     Menghulurkan bantuan memang amalan mulia. Baik di sisi agama mahupun kemanusiaan. Kerana orang dalam kesusahan memang sangat berhajat kepada bantuan. Oleh itu sikap suka menderma dan memberi bantuan wajar menjadi amalan semua pihak tidak kira di kalangan rakyat berupaya mahupun pemerintah berkuasa.
Namun yang menjadi isu ialah kaedah bagaimana bantuan itu di hulurkan. Sejauhmana keikhlasan bantuan di hulur. Ada orang kata bab ikhlas adalah perkara hati dan sukar di lihat. Memang benar. Tetapi jangan lupa bahawa setiap sesuatu mesti ada alamatnya dan ia boleh di hidu oleh mereka yang mahu berfikir.
      Keihklasan dalam memberi bantuan ialah dengan niat mahu membebaskan penerima bantuan dari kemelut di hadapinya bukan sekadar bersifat sementara tetapi jangka panjang atau berkekalan. Ia juga perlu tiada apa apa kepentingan atau ada udang di balik batu oleh si pemberi bantuan. Sesudah itu peristiwa pemberian juga tidak di jaja merata rata. Apatah lagi jika di iklankan melalui semua saluran. Maka itu akuan keikhlasan boleh dipertikaikan.
      Pepatah ada mensabitkan adalah lebih baik jika diberi joran dan matakail kepada seorang yang memerlukan ikan kemudian ajar dia ilmu memancing ikan berbanding menghulurkan ikan 5kg untuk satu satu tempoh misalnya setiap satu musim. Ini kerana selepas habis ikan 5 kilo itu maka ia akan ketiadaan ikan lagi untuk di makan dan terpaksa melahu menunggu bantuan 5 kg lagi di musim akan datang.  Sampai bila pun nasibnya tidak berubah. 
         Hulur lah dengan tangan kanan dan sembunyikan dari pengetahuan tangan kiri supaya  pemberian itu diberkati dan dirahmati. Jika di sana ada sumber rezeki maka ajak dan ajar lah mereka untuk sama sama berkongsi dengan adil jika benar ada keikhlasan di hati.

Friday, 30 September 2011

KOPI DIMINUM TEH YANG RASA

Saya tidak membuat kajian lanjut. Sekadar imbasan ketika menonton berita dan membaca akhbar. Ketika sambil lalu melewati pusat membeli belah dan kawasan santai. Atau pun semasa memandu di lebuhraya. Barangkali kita boleh sama sama merenung sejenak. Samada benar atau tidak.
1. Kebanyakan kes kes pecah amanah dan jenayah rasuah melibatkan pegawai pegawai Melayu.
2. Pesalah trafik terutamanya perempit ramai dari kalangan remaja Melayu.
3. Membuang dan membunuh bayi melibatkan ramai orang Melayu.
4. Jenayah rompak, bunuh , rogol dan dera melibatkan ramai orang orang Melayu.
5. Saman menyaman dimahkamah dan keruntuhan rumahtangga melibatkan ramai orang Melayu.
6. Penyalahgunaan dan pengedaran dadah melibatkan ramai Melayu
7. Masalah moral ramai mengenai orang orang Melayu.
Dalam operasi operasi pihak berkuasa, kita lihat mereka yang ditahan kebanyakan dari kalangan orang Melayu kecuali jenayah pelacuran dan cetak rompak yang majoriti melibatkan orang orang Cina.
Secara peribadi saya melihat fenomena ini ada kaitan dengan watak orang Melayu yang gemarkan hiburan dan dasar dasar hiburan pulak dalam zaman sekarang ini telah jauh menghanyutkan pemikiran dan perasaan orang orang Melayu sehingga membawa mereka mencorakkan fenomena diatas menjadi budaya hidup.
Barangkali jugak ada sumbangan sebab sebab politik dimana dua parti terbesar orang Melayu iaitu PAS dan UMNO sentiasa dalam perbalahan. Perbalahan peringkat akar umbi tidak seperti di kalangan pemimpin. Golongan akar umbi mereka sanggup bertindak lebih dari bermasam muka walaupun mempunyai pertalian darah.
Mungkin sebab majoriti rakyat Malaysia dari etnik Melayu maka mereka menjadi penyumbang utama kepada gejala negatif ini. Tetapi jika kuantiti diambil kira untuk hujah, mengapa pula dalam kes membina kecemerlangan tidak terdiri dari orang Melayu sebaliknya dari kaum lain.
Orang Melayu di Malaysia 99.99% penganut Islam. Apa yang melanda masyarakat Melayu adalah apa yang menjadi larangan keras agama Islam terhadap penganutnya. Jika ini diambilkira sebagai fakta, maka alangkah sedihnya kita sebagai etnik Melayu pendokong agama Islam di Malaysia.
Bagaimana kita dengan lantang menuding jari kepada orang lain sebagai ancaman kepada diri kita sedang kita sendiri dalam diam tanpa sedar menjadi perasit atau apa yang dikatakan "api dalam sekam".
Hari ini..kopi yang kuminum tiada rasa pahitnya...agaknya telah terlebih gula..

Wednesday, 13 October 2010

JALANRAYA -PENGGUNA,PENGUTAKUASA DAN PEMERINTAH

Berita baru tetapi perkara lama. Isu panas tetapi cerita basi. Tidak lebih seperti ulangtayang iklan di skrin TV. Kita menangis, melolong dan menempik hanya untuk seketika. Kemudian kita kembali lupa.

Tragedi demi tragedi berselang seli. Silih berganti. Dasyat dan ngeri. Terbaru dalam siri, dua belas orang maut dan beberapa yang lain parah atau pun paling tidak, mereka pasti terkejut geroh dalam satu kemalangan sebuah bas ekpress dekat Melaka.

Saya mungkin salah seorang pengguna jalanraya jarak jauh negara ini sejak 1982 apabila membeli kereta pertama saya ketika itu. Selama tempoh 28 tahun , saya memandu hampir di semua lebuhraya, jalanraya dan jalan tidak raya seluruh pelosok negara . Dari era jalan persekutuan yang sempit sehingga kepada zaman lebuhraya 4 lorong sebelah.

Apa yang ingin saya kongsikan dari pengalaman selama itu ialah, walaupun tidak semua tetapi sebahagian besar pemandu kenderaan berat khususnya bas eskpres, memang kurang hemah mereka dalam tolakansur berkongsi menggunakan jalan raya. Kita tidak tahu apa punca masalah sebenar tetapi yang jelas bagi seorang pemandu bas, bila ia berada di atas jalan ia di "jaga" oleh sekurang-kurangnya empat orang penguatkuasa wakil kepada pemerintah kesejahteraan sesebuah negara. Mereka ialah;-

1. Pegawai LPKP

2. Pegawai JPJ.

3. Pegawai Polis Trafik.

4. Pemilik syarikat bas ( majikan mereka).

Anehnya, 4 orang tidak berupaya mengawal 1 orang. Bermakna 1 orang tersebut memang hebat dan handal.

Mungkin anggota penguatkuasa hanya pemegang amanah mendaulatkan undang-undang dan tertakluk kepada terma dan syarat tertentu. Mereka mungkin umpama burung kakatua. Hanya boleh bertindak dalam lengkungan garispanduan ditetapkan. Berlebih kurang sikit sikit mungkin boleh, tetapi kalau banyak tentu menjadi sukar. Jadi, mereka tidak wajar di persalahkan. Lalu siapakah yang lebih wajar memikul tanggungjawab?

Jika diatas kapal, orangnya tentulah nahkoda. Nakhoda bukan dewa tetapi seorang manusia juga. Sebagai manusia jika ia sedar kemanusiaannya, tentu ia akan bertindak dalam lengkungan sebuah kemanusiaan atau fitrah mereka. Maka segala peraturan haruslah berpaksi kepada naluri dan fitrah manusia.

Persoalannya, manusia cuba dididik mengikut methodolgi penciptaan mesin. Percubaan ini mungkin disedari atau tidak atau mungkin mempunyai agenda tersendiri. Sejauh mana keberkesanan dan rasionalnya peraturan peraturan jalanraya digubal dan dikuatkuasakan perlaksanaan selama tempuh ini masih boleh dan sentiasa dipertikaikan. Erti nya ia satu perjuangan yang belum selsesai.
Kemelut ini secara umum melibat semua pengguna. Bila berada diatas jalanraya, adalah menjadi perkara biasa hal hal berikut, yang tidak sepatutnya terlihat oelh kita:-

1. Jika lorong tepi untuk pemanduan kenderaan berat dan perlahan, mengapa berleluasa mereka ini di lorong tengah dan lebih teruk di lorong kanan atau lorong memotong. Tidak bolehkah salah seorang dari 4 penjaga diatas menegur atau merotan mereka ini dengan sungguh sungguh sebatan, biar berbalur!

2. Jika mereka dihadkan kepada 90km/j mengapa ada yang boleh memintas dengan amat mudah disebelah lorong kiri keatas sebuah kereta pada kelajuan 110km/j. Bukankah aturan memandu kita disebelah kanan tangan. Memintas hendaklah di sebelah kanan.

3. Mengapa ada kereta kereta romantik dan skepo dengan kelajuan 60 - 80km/j bersiul siul di lorong memintas lalu membentuk gerabak komuter berjela jela panjangnya.

4. Mengapa ada kereta kereta menggunakan lampu xenon yang memancar kilauan warna biru uyang menyucuk mata?
5. Mengapa ada kenderaan khususnya motosikal yang bunyinya macam buluh pecah dan memecut mecelok sana sini atas jalan.
6. Mengapa ada pengunggang motosikal dengan terkemut kemut menunggang di lorong kanan lebh raya..
7. Mengapa ada pengguna sesuka hati meletak kenderaaan mereka di tepi jalan sehingga mengganggu aliran trafik.
8. Mengapa bermerajalela pengguna pengguna selfish yang gemar memotong barisan sehingga menyebabkan trafik jam.
Senario ini jarang di katakan oleh pihak berkuasa. Mereka lebih gemar menuduh kelajuan sebagai punca utama. Kelajuan berbahaya sebenarnya subjektif. Pada tahap berapakah ia di katakan laju . 100km/j. 15okm/j atau 200km/j. Bagi seorang pemandu muda 150km/j mungkin belum laju. Kepada seorang pemandu warga emas, 60km/j sudah dirasakan laju. Sebab itu dia dengan tenang bersiul siul di lorong kanan lebuhraya membentuk konvoi yang tension dan boleh menyebabkan kecelakaan atau pertelingkahan.
Majlis Keselamatan Jalanraya mungkin boleh membuat kajian dan menetap tahap kelajuan standard berdasarkan fitrah dan respon semulajadi manusia. Secara kampung, ia sangat mudah. Kita perhatikan lah, di kawasan hadlaju 90 km/j, berapa ramai boleh mematuhinya. Saya rasa 80% pengguna memecut seekitar 100 -110km/j di zon tersebut.